Pemain sayap negara, Syazwan Zainon, enggan cepat berpuas hati dengan persembahannya walaupun berjaya melakar rekod peribadi menerusi gol sulung di pentas antarabangsa, semalam.

Syazwan muncul antara watak penting dalam kemenangan 3-2 Malaysia ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Piala Suzuki AFF di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar.

Dia menyalakan api kebangkitan Harimau Malaysia menerusi gol penyamaan pada minit ke-36.

Syazwan, yang membuat penampilan kedua di pentas antarabangsa, hampir menambah jaringan seminit selepas rehat.

Aksi mantap pemain kelahiran Perlis yang berusia 27 tahun itu, jelas mendapat tumpuan apabila dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Ia merupakan hasil kerjasama satu pasukan. Tidak penting siapa yang menjaringkan gol tetapi yang penting adalah kemenangan skuad negara.

"Kami masih belum berpuas hati dengan persembahan yang telah kami tampilkan, kami pasti akan berusaha untuk memberikan aksi yang lebih baik," ujarnya.

Gol tersebut juga membuktikan Syazwan memiliki sentuhan pemusnah selepas lebih kerap bertindak sebagai pencetus jaringan ketika bersama pasukan Kedah.

"Coach ada memberikan pandangan untuk kami cuba menjaringkan gol dari jauh jika memperolehi peluang. Saya mengambil kata-kata coach itu dan berjaya menyumbang satu gol dalam perlawanan tersebut."