SINGAPURA 1 INDONESIA 2

Stefano Lilipaly membawa Indonesia ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016 apabila jaringannya mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Singapura tatkala Thailand mengekalkan rekod bersih dengan kemenangan 1-0 ke atas Filipina dalam aksi Kumpulan A.


Indonesia dan Singapura perlu melakar kemenangan di samping mengharapkan Filipina gagal menewaskan Thailand bagi menjamin tempat ke peringkat separuh akhir.

Singapura terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Khairul Amri pada minit ke-27 hasil hantaran Safuwan Baharudin.

Gol tersebut merupakan jaringan sulung skuad Singapura dalam saingan Piala Suzuki AFF 2016 .

Bagaimanapun, skuad Garuda menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi pemain sayap Selangor, Andik Vermansyah.

Lilipaly -- pemain kelahiran Arnhem, Belanda -- kemudian muncul wira Indonesia apabila meledak gol kemenangan lima minit sebelum perlawanan tamat.

Kegembiraan Indonesia berganda apabila mengetahui Thailand menyumbat gol menerusi Sarwut Masuk pada minit ke-81 perlawanan lalu mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas The Azkals.

Meskipun Thailand merehatkan beberapa tonggak utama -- antaranya Chanathip Songkrasin, Kawin Thamsatchanan dan Teerasil Dangda -- namun ia tidak melemahkan jentera serangan skuad kendalian Kiatisuk Senamuang yang sering kali mengasak kubu Filipina.

Keputusan tersebut meletakkan Indonesia di tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata, sekaligus mengiringi Thailand, selaku juara kumpulan dengan sembilan mata, ke peringkat separuh akhir.