Pengendali Thailand, Kiatisuk Senamuang, memberi amaran tidak akan mengambil mudah aksi berdepan Filipina esok meskipun telah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir selaku juara Kumpulan A.

Kenyataan tersebut bukanlah berita baik buat Filipina yang mengharapkan kemenangan bagi menemani Thailand ke peringkat seterusnya.

Ketika ini, Filipina menduduki tempat kedua kumpulan dengan dua mata manakala Singapura dan Indonesia, masing-masing dengan satu, sekaligus ketiga-tiga pasukan masih berpeluang untuk mara.

Jika Filipina gagal mengutip tiga mata ke atas Thailand, kemenangan di antara pertemuan Singapura dan Indonesia akan melihat mereka kecundang ke kedudukan ketiga, sekaligus memusnahkan harapan untuk ke separuh akhir.

"Walaupun kami sudah layak ke peringkat seterusnya, perlawanan esok tetap penting buat kami," jelas Kiatisuk dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang affsuzukicup.com.

"Matlamat kami adalah mengutip tiga mata, sama seperti dalam dua aksi sebelum ini. Kami akan membuat perubahan terhadap kesebelasan utama kerana kesemua 23 pemain cukup berkualiti.

"Setiap perlawanan menawarkan mata dalam ranking FIFA, jadi kami akan berikan yang terbaik."

Sementara itu, pengendali The Azkals, Thomas Dooley, berkata tidak kira siapa pun pemain yang bakal diturunkan skuad Gajah Perang, mereka akan turun dengan satu objektif sahaja -- iaitu cuba melakar kemenangan.

"Perlawanan ini mungkin bakal menjadi aksi terakhir kami di AFF. Kerana itulah ia sangat penting kerana kami mahu mara ke peringkat seterusnya," jelasnya.

"Pemain saya sudah bersedia, mereka tidak sabar untuk turun beraksi esok."