Piala Suzuki: Amri enggan diangkat sebagai wira

Oleh Staff Writer 21 November 2016 2
Piala Suzuki: Amri enggan diangkat sebagai wira
Kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah, enggan diangkat sebagai wira, sebaliknya menyifatkan dua jaringannya ketika menewaskan Kemboja 3-2 semalam adalah hasil kerjasama berpasukan.

Skuad negara terpaksa bergelut sebelum meraih kemenangan aksi pertama dalam Kumpulan B, Kejohanan Piala Suzuki AFF di Yangon, Myanmar.

Selepas berjaya bangkit menerusi gol penyamaan Syazwan Zainon, skuad negara kembali ketinggalan hasil jaringan kedua Chan Vathanakka.

Mujur Amri menemui penyudah pada minit ke-68 dan 79, sekali gus memastikan langkah kanan baut Harimau Malaysia.

"Kemenangan pasukan adalah lebih penting. Saya bersyukur kami menampilkan semangat berpasukan yang tinggi.

"Walaupun pada mulanya kami ketinggalan, tetapi kami berjaya untuk bangkit dan menjaringkan gol kemenangan.

"Cuaca panas antara cabaran yang perlu kami lalui tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan kerana perlawanan seterusnya kami akan beraksi di sebelah petang sekali lagi.

"Saya berharap kami akan boleh membiasakan diri dengan keadaan tersebut," katanya.

Pemain berusia 35 tahun dari Tanjung Karang, Selangor itu sudah merekodkan tujuh gol sepanjang empat penampilannya dalam Kejohanan Piala Suzuki bermula pada 2004.

Dia kurang dua gol daripada Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin, yang berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak Malaysia untuk kejohanan berkenaan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen