Khairul Fahmi Che Mat mengakui skuad negara perlu memperkemaskan benteng selepas melabelkan penggempur Vietnam antara paling berbahaya dalam kalangan pasukan yang bersaing dalam kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016.

Harimau Malaysia dibolosi dua gol mudah ketika bertemu Kemboja dalam aksi pertama kelmarin. Malah, gol kedua menyerlahkan kepincangan barisan pertahanan, sekali gus membayangkan tugas lebih berat menanti skuad negara untuk pertemuan kedua berdepan Vietnam, 4.30 petang (waktu Malaysia) esok.

Sedar Vietnam mempunyai penyerang hebat seperti Lee Cong Vinch dan Nguyen Van Quyet, Khairul Fahmi berkata pasukannya perlu mengelak masalah sama daripada berulang.

"Untuk pertemuan dengan Vietnam, saya berharap saya dan juga barisan pertahanan dapat memperbaiki kekurangan daripada pertemuan dengan Kemboja.

"Jurulatih juga akan memperbetulkan apa kesilapan yang telah kami lakukan. Jadi, kami perlu lebih berhati-hati ketika bertemu Vietnam, terutama berdepan peyerang mereka," katanya.

Penjaga gol Kelantan itu, bagaimanapun, enggan menjadikan faktor cuaca sebagai alasan aksi Harimau Malaysia kurang memuaskan ketika menang 3-2 ke atas Kemboja.

"Halangan tetap ada tetapi kami semua cuba untuk memberikan tumpuan kepada perlawanan sahaja.

"Keadaan cuaca tidak boleh diubah, jadi apa yang boleh kami lakukan adalah hanya fokus kepada perlawanan," tambahnya.

Cong Vinh turut muncul penjaring kedua ketika Vietnam menewaskan Myanmar 2-1 dalam perlawanan pertama mereka kelmarin.