Indonesia meraih kemenangan 2-1 ke atas Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di laman sendiri, malam tadi.

Beraksi di depan ribuan penyokong sendiri dan disaksikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Stadium Pankasari, Bogor, Indonesia mempamerkan semangat juang tinggi, apatah lagi ini aksi penting selepas digantung setahun oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.

Hanya tujuh minit perlawanan bermula, tuan rumah berada di depan menerusi tandukan Hansamu Yama Pranata.

Tersentak, Vietnam memperkemas aksi dan memperoleh sepakan penalti selepas Le Cong Vinh dikasari pihak lawan.

Nguyen Van Quyet tenang menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga, untuk kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, tuan rumah pula dihadiahkan sepakan penalti.

Penyerang veteran Indonesia, Boas Salossa, tidak mensia-siakan peluang keemasan meletakkan tuan rumuah mendahului 2-1.

Vietnam berpeluang menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir permainan, namun percubaan Dinh Thanh Trung berjaya ditepis Meiga.

Keputusan 2-1 kekal dan aksi timbal balik di Hanoi, Rabu ini, bakal menentukan pasukan manakah yang akan ke final.

Pengendali Indonesi, Alfred Riedl, memuji aksi anak buahnya yang berjuang habis-habisan untuk melakar kemenangan, sekaligus menggembirakan penyokong yang membanjiri stadium.

"Bagi saya, perlawanan ini cukup menarik kerana kedua-dua pasukan beraksi dengan corak serangan pantas," kata Riedl dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang affsuzukicup.com.

"Pada babak kedua, Vietnam menguasai permainan, namun kami berbangga kerana dapat melakar kejayaan berdepan pasukan yang kuat," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang, kekal optimis pasukannya masih berpeluang untuk melangkah ke final.

"Kami tewas tetapi pemain saya mempamerkan aksi yang menggembirakan saya.

"Mentaliti pemain cukup kuat dan mereka tidak putus asa. Saya rasa keputusan seri mungkin memadai tetapi ia tidak berlaku.

"Kami masih lagi berpeluang apabila beraksi di laman sendiri nanti."

Kredit imej: affsuzukicup.com