Penyerang berpengalaman negara, Safee Sali, mengingatkan rakan seperjuangan agar fokus dan tidak gentar untuk menghadapi Vietna, dalam usaha mencerahkan peluang ke separuh akhir kejohanan Piala Suzuki AFF 2016.

Safee dibawa masuk pada minit ke-72 ketika menentang Kemboja dan sumbangannya berjaya menghasilkan gol kemenangan setelah hantarannya disempurnakan oleh Amri Yahyah.

Bagi penyerang yang berusia 32 tahun itu, pertemuan dengan Vietnam pastinya menjanjikan satu pertembungan yang sengit dan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pasukan negara, untuk memastikan Harimau Malaysia mencatatkan kemenangan kedua esok.

"Banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukan negara untuk perlawanan kedua, kelemahan di bahagian pertahanan dan keseluruhannya.

"Menentang Vietnam akan menjadi satu perlawanan yang sengit kerana Vietnam juga mencari kemenangan, jadi skuad negara perlu lebih fokus dan cuba untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

Dalam pada itu, Safee juga teruja kerana khidmatnya masih ditagih oleh pasukan kebangsaan, di mana dia kini telah membuat penampilan kelima dalam kejohanan itu.

"Saya juga tidak menyangka mampu untuk membuat penampilan kelima sejak 2008. Sememangnya saya tidak pernah melupakan apa yang saya lalui pada setiap edisi bersama pasukan negara.

"Saya berbangga kerana masih menyarung jersi kebangsaan sehingga hari ini. Saya akan terus mencuba untuk menaikkan serta mengharumkan nama negara, dengan menjaringkan gol sebanyak mungkin serta memberikan kemenangan kepada pasukan negara untuk mara lebih jauh lagi dalam kejohanan ini," tambahnya.