MYANMAR 1 VIETNAM 2

Vietnam berjaya menundukan pasukan tuan rumah, Myanmar, 2-1 dalam aksi Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwanna, sebentar tadi.


Juara tahun 2008 itu berada di depan pada minit ke-24 menerusi Nguyen Van Quyet yang berjaya menembusi pertahanan tuan rumah sebelum meledak gol pembukaan.

Walaupun Myanmar berdepan kesukaran untuk memecah keampuhan benteng Vietnam pada babak pertama, namun keengganan mereka mengaku kalah akhirnya membuahkan hasil memasuki minit ke-73.

Aung Thu berjaya menyamakan kedudukan apabila melakukan pusingan cantik sebelum melepaskan rembatan deras dengan kaki kirinya dari luar kotak penalti, sekaligus menewaskan penjaga gol Vietnam.

Namun, sorakan tuan rumah hanya bertahan selama tujuh minit apabila kapten Vietnam, Le Cong Vinh, muncul wira apabila meledak gol kemenangan hasil hantaran lambung Nguyen Trong Hoang untuk menghadiahkan kemenangan buat pasukannya.

Pengendali Vietnam, Nguyen Huu Thang, sudah pun menjangka perlawanan yang sukar ekoran beraksi di laman lawan.

"Saya sudah pun memaklumkan kepada pemain saya bahawa perlawanan ini bukan mudah. Myanmar beraksi di laman sendiri tetapi pemain saya membuktikan mereka tidak mudah menyerah kalah.

"Pada saya, perlawanan ini cukup berkualiti kerana Myanmar mempunyai pemain yang tidak henti-henti membuat larian dan memberikan tentangan.

"Apa pun saya berpuas hati dengan pemain saya," jelasnya.

Sementara itu, pengendali Myanmar, Gerd Zeise, mengakui kesilapan di saat genting menjadi punca tewas.

"Kami harus menyalahkan diri sendiri. Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cukup berkualiti, namun melakukan kesilapan di peringkat ini sudah tentu akan memakan diri."