Juara bertahan, Thailand, menepati ramalan untuk mara ke final Piala Suzuki AFF buat kali kelapan selepas mudah menewaskan Myanmar 4-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua untuk menang dengan agregat 6-0 dalam aksi berat sebelah di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

Thailand membawa pulang bekalan selesa dua jaringan selepas menundukkan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama.

Skuad kendalian Kiatisuk Senamuang itu mempamerkan belang mereka sejak awal perlawanan menerusi penguasaan bola sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-33 hasil tandukan Sarawut Masuk.

Dominasi Thailand semakin terserlah pada babak kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti ekoran kekasaran yang dilakukan oleh Yan Aung Kyaw terhadap Masuk.

Theerathon Bunmanthan tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut untuk Thailand menggandakan kedudukan.

Lebih parah buat Myanmar apabila pengendali mereka, Gerd Zeise, diarah keluar padang.

Pasukan yang mendapat jolokan Gajah Perang itu menambah dua lagi jaringan menerusi Siroch Chatthong dan Chanathip Songkrasin pada lewat permainan, sekaligus menoktahkan perjuangan Myanmar.

Menanti Thailand dalam aksi final minggu hadapan ialah Indonesia yang terlebih dahulu menyingkirkan Vietnam, kelmarin.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi pertama perlawanan akhir di Stadium Pakansari, Bogor pada 14 Disember sebelum bertemu di Bangkok, tiga hari kemudian.