Hari gemilang buat Malaysia di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini apabila tiga wakil negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia Cougars B-12, B-13 dan B-14 cemerlang menewaskan lawan masing-masing untuk mara ke perlawanan akhir Piala Supermokh.

Cougars B-14 terlebih dahulu turun menentang wakil Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan untuk layak ke final apabila Muhammad Danish Muhammad Zahir bijak mencuri ruang untuk meledak gol pada minit ke-62 buat skuad negara.

Ia memberi kelegaan buat skuad negara apabila mereka kini selangkah lagi untuk menyamai pencapaian edisi lalu dengan muncul juara pada 2016.

Menanti mereka di pentas final adalah wakil dari England, Arsenal.

"Jika diikutkan pencapaian kami pada tahun lalu, kami adalah juara bertahan. Semua orang nak menang tetapi pemain saya perlu menunjukkan perkembangan dari semasa ke semasa.

"Saya mahu mereka terus konsisten menunjukkan perkembangan, inilah pembangunan bola sepak sebenar," kata jurulatih Cougars B-14, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

Turut cemerlang adalah Cougars B-12 yang menundukkan wakil Jepun, Kashima Antlers, dengan keputusan 2-1.

Gol pasukan Malaysia dijaringkan Muhammad Nazwan Abdullah dan Nabil Zakwan Zaki manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Sora Ouchi pada minit ke-45. Mereka bakal berdepan pasukan Portugal, Sporting Lisbon, untuk menentukan gelaran juara, esok.

"Pasukan ini baru mula menjalani persiapan beberapa minggu lalu tetapi pernah bermain dalam beberapa kejohanan besar. Namun, kami cuba memberikan aksi terbaik kerana bola sepak sukar diduga.

"Kami mempunyai kualiti dan bakat untuk melakukan sesuatu dan mencetuskan masalah," ujar jurulatih Cougars B-12, Saad Inchalalene, menjelang aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Sementara itu, Cougars B-13 memenangi penalti 4-2 untuk bertemu AZ Alkmaar (Belanda) selepas terikat 1-1 dengan PSG selepas tamat tempoh masa sebenar permainan.