Pembimbing jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Datuk Richard Scully, menyifatkan kejayaan skuad NFDP Malaysia Panthers dalam Piala Supermokh 2019 sebagai membuktikan barisan pemain muda tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan DNA bola sepak negara.

Skuad NFDP Malaysia Panthers muncul juara kategori B-12 Piala Supermokh edisi kelima selepas menewaskan NFDP Malaysia Cougars 3-0 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, hari ini.

Selepas setahun tiada penganjuran, skuad B-12 tahun negara mengulangi kejayaan 2015 dan 2016 untuk mengungguli Piala Supermokh.

"Pemain-pemain (mencerminkan) falsafah negara.

"Kami memulakan permainan dari belakang, dengan keyakinan dan tidak gentar. Ada banyak elemen yang diuar-uarkan tetapi pendidikan daripada jurulatih adalah penting.

"Kami memainkan peranan penting agar DNA ini boleh diterapkan sebaik mungkin," kata Richard.

Sementara itu, ketua jurulatih NFDP Malaysia Panthers, S. Veloo, meluahkan rasa bangga apabila anak buahnya hanya mengambil masa kurang dari sebulan untuk menampilkan keserasian.

"Apabila saya menyertai NFDP, saya melihat banyak perubahan di sini.

"NFDP telah membuat pemilihan yang terbaik dan pemain-pemain telah mengikuti DNA yang ditetapkan FAM.

"Sebab itu kita boleh lihat permainan yang cantik, tiada lagi larian sebarangan dan pemain menunggu masa yang sesuai untuk menjaringkan gol.

"Kami mula menerapkan DNA bola sepak sendiri," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-13 AMD Malaysia Cougars, Mohd Khushairi Abdul Wahab, menganggap kekalahan kepada pasukan dari Thailand dengan keputusan 2-0 ekoran kelebihan fizikal yang dimiliki pihak lawan.

"Kami mengikuti DNA permainan dengan memulakan serangan dari bawah.

"Kami mempamerkan penuh kreativiti dalam permainan menerusi campuran hantaran pendek dan jauh selain asakan dinamik.

"Tetapi dalam bola sepak, kadang-kadang ia diukur bukan berdasarkan keputusan, sebaliknya corak permainan," katanya.