Piala Supermokh: Malaysia Panthers terkandas akibat peraturan rekod pertemuan

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 4533
 Piala Supermokh: Malaysia Panthers terkandas akibat peraturan rekod pertemuan
Pasukan Akademi Mohktar Dahari (AMD) Malaysia Panthers memastikan kemenangan 4-1 ke atas pasukan Jepun, Mito HollyHock, tetapi gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Supermokh 2017 berdasarkan rekod pertemuan dengan Foolad Sepahan dari Iran yang diambil kira. 

Berhadapan Mito HollyHock, pagi tadi, Panthers cuba mencari kemenangan besar untuk merebut slot ke separuh akhir. 

Usaha itu cuba dinafikan wakil Jepun itu pada awal permainan apabila terlebih dahulu memastikan jaringan pembukaan pada minit ketiga. Bagaimanapun, Mito terpaksa beraksi dengan 10 pemain akibat kad merah pada minit ke-32. 

Beraksi pada babak kedua, Panthers bijak mencuri kelebihan yang menyaksikan Syukur Fariz Januri menyamakan kedudukan pada minit ke-58. 

Fakrul Fariz Aidi kemudian berada di kedudukan tepat untuk menewaskan penjaga gol Mito bagi memastikan Panthers memimpin permainan pada minit ke-61. 

Dua gol sumbangan Sapie Ashri dalam tempoh dua minit meletakkan Panthers semakin selesa, namun ia belum cukup untuk membawa mereka ke babak empat pasukan terbaik. 

"Mereka bekerja, berlari dan itu yang sepatutnya berlaku dalam bola sepak kita. Saya sangat berterima kasih dengan mereka serta berpuas hati dengan persembahan dan semangat juang mereka. 

"Namun, kami perlu memperbaiki dari segi teknikal dan komunikasi mereka, itu sangat penting," kata jurulatih Panthers, Armi Shariff.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen