Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang turut hadir menyaksikan perlawanan Piala Supermokh, tetap berpuas hati dengan prestasi wakil negara dalam kejohanan itu.

Meskipun wakil negara gagal meraih kejuaraan dalam edisi kali ini, Khairy menegaskan jurang perbezaan mereka dengan kelab ternama Eropah tidak banyak perbezaan.

"Walaupun keputusan tidak memihak ketiga-tiga pasukan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), kita lihat jurang kita dengan kelab-kelab terkemuka dunia tidaklah terlalu besar, malah tahap mereka hampir sama.

"Ini satu perkembangan yang baik sebab dengan adanya tiga kumpulan umur ini, kita mempunyai empat generasi dalam NFDP. Ini menunjukkan dari segi penyediaan pemain muda, kita tidak sekadar mengharapkan generasi barisan pimpinan Lim Teong Kim.

"Piala Supermokh ini menjadi tumpuan kelab-kelab terkemuka dunia, bukan mudah untuk menjemput mereka datang.

"Saya harap ia menjadi kejohanan yang dinanti-nantikan pasukan terkemuka dunia," ujar Khairy ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang.

Edisi keempat Piala Supermokh menyaksikan dua pasukan terbaik dunia tampil memberi saingan, iaitu Paris Saint-Germain (PSG) dan Arsenal, sekaligus mengangkat martabat kejohanan itu sebagai terbaik di Asia Tenggara.

Tiga wakil Malaysia, iaitu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia Cougars B-12, B-13 dan B-14 tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Keputusan penuh:

Cougars B-12 tewas 2-0 kepada Sporting Lisbon

Cougars B-13 tewas 2-1 kepada AZ Alkmaar

Cougars B-14 2-1 kepada Arsenal