Bahana leka pada lewat permainan menyaksikan dua wakil negara dalam Kejohanan Piala Supermokh, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia Cougars B-13 dan B-14 kempunan merangkul kejuaraan selepas tumpas kepada lawan masing-masing dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Cougars B-14 gagal mempertahankan kejuaraan selepas tumpas 2-1 kepada Arsenal, yang secara tidak langsung mengulangi kekalahan sama di peringkat kumpulan.

Terdahulu, Arsenal garang membuka tirai jaringan menerusi Malcom Ebiowei pada minit ke-33, namun kedudukan itu disamakan Cougars B-14 hasil jaringan Akif Afizi Ramzi, tiga minit selepas rehat.

Kebangkitan itu tidak kekal lama apabila Arsenal kembali di depan pada minit ke-65 menerusi jaringan Levi Lang untuk memastikan kejuaraan milik mereka.

"Saya memang kecewa sebab kami turun untuk mengekalkan kejuaraan. Namun, kami tewas disebabkan kelekaan pemain," kata jurulatih Cougars B-14, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

Lain pula pandangan jurulatih Arsenal, Ryan Garry, yang memuji anak buahnya yang berjaya mengikut pelan yang telah dirancangkan.

"Saya gembira kerana pemain mengikut arahan yang diterapkan dan berjaya mempamerkan waktu yang tepat untuk melakukan larian dan hantaran," ujarnya.

Sementara itu, hasrat Cougars B-13 untuk menebus kekecewaan itu tidak kesampaian apabila turut kecundang 2-1 kepada AZ Alkmaar.

Mereka garang membuka tirai jaringan menerusi Daniel Edzuan Anuar seawal minit kelima, namun lawan dari Belanda itu berjaya bangkit meraih gol penyamaan menerusi Spike Boersen pada minit ke-35.

Menujut tamat aksi sepenuh masa, Bayren Rutsel muncul wira AZ Alkmaar apabila menyumbat gol kemenangan untuk meleburkan impian Cougars B-13 untuk mengecapi kejuaraan buat julung kalinya.

Turut kecewa, Cougars B-12 apabila tewas kepada Sporting Lisbon 2-0.