Hasrat wakil Malaysia, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers, untuk mencipta kejutan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) tidak kesampaian apabila diikat 1-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala Supermokh B-14 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Skuad bimbingan Armi Shariff itu mempamer aksi menyakinkan pada awal perlawanan sebelum berjaya membuka tirai jaringan menerusi Ziad El Basheer pada minit ke-10.

Selang empat minit, AMD Panthers hampir-hampir menggandakan kelebihan, namun percubaan Marwan Abdul Rahman sedikit tersasar.

Selepas itu, skuad muda PSG bangkit mengatur rentak sebelum berjaya meraih gol penyamaan beberapa minit sebelum tamat babak pertama menerusi gol sendiri penjaga gol AMD Panthers, Faridzuan Pekan.

Kedua-dua pasukan kemudian meningkatkan tempo permainan pada babak kedua dalam usaha menambah jaringan.

PSG tampil lebih menyerlah menerusi penguasaan bola sepanjang baki perlawanan tetapi benteng wakil negara ampuh bertahan sehingga wisel penamat.

"Jaringan yang dilepaskan adalah daripada kesilapan sendiri, daripada masalah komunikasi kami.

"Kami ada beberapa peluang terakhir tetapi kami tidak dapat menyudahkannya. Kami tidak bernasib baik," ujar Armi.

Pengendali PSG, Oumouche Zakarya, berkata: "Perlawanan hari ini begitu sukar kerana cuaca panas. Tetapi saya berpuas hati dengan persembahan pasukan saya kerana ia perlawanan sukar."