Ivan Rakitic berasakan penjaga gol, Manuel Neuer, merupakan pemisah antara Bayern Munich dan Sevilla dalam aksi Piala Super ketika juara Bundesliga itu menang 2-1 selepas perlawanan diheret ke masa tambahan.

Penyandang Liga Europa Sevilla, mendahului menerusi penalti Lucas Ocampos di Budapest tetapi kembali terikat selepas tamat separuh masa pertama hasil jaringan Leon Goretzka.

Sevilla membuktikan mereka sukar diatasi dalam separuh masa kedua, dan pemain gantian, Youssef En-Nesyri, hampir menamatkan rekod 22 kemenangan Bayern pada minit ke-87, hanya dinafikan oleh Neuer.

Pemain kebangsaan Jerman itu turut menafikan percubaan dalam masa tambahan, tetapi kedudukan pemain Sevilla itu kelihatan sudah ofsaid.

Pemain gantian Bayern, Javi Martinez, kemudian meledak gol kemenangan pada minit ke-104 untuk menyaksikan pemain tengah Sevilla memberikan pujian atas persembahan Neuer.

"Ia sesuatu yang mengecewakan tetapi inilah bola sepak," kata bekas bintang Barcelona itu.

"Kami menyaksikan sekali lagi betapa pentingnya Neuer buat mereka. Kami memiliki dua peluang untuk mendahului tetapi dia telah menafikannya. Kemudian permainan kami agak longgar dan mereka meledak gol kemenangan.

"Bagaimanapun, kami cukup berbangga dengan cara kami bermain berdepan pasukan terbaik Eropah dan berasakan kami sudah bersedia untuk saingan liga musim ini."

Sevilla tidak pernah tewas sejak Februari dan sudah pasti telah mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding pasukan LaaLiga terakhir yang berdepan Bayern, yang mengaibkan bekas kelab Rakitic Barcelona 8-2 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Skuad kendalian Julen Lopetegui itu memulakan saingan domestik Ahad ini berdepan Cadiz dan kapten Sevilla, Jesus Navas, mahu mereka segera bangkit daripada kekalahan ini.

"Ia adalah perlawanan yang sama arat dan akhirnya kami gagal menjaringkan gol kemenangan," katanya.

"Kami berpeluang tetapi gagal menggunakannya sebaik mungkin. Kami perlu bangkit dan melihat ke hadapan."