Penyerang Liverpool, Sadio Mane, menegaskan dia sudah bersedia untuk membarisi kesebelasan utama menjelang pertembungan Piala Super UEFA dengan Chelsea, awal pagi esok.

Mane kembali berlatih sejak Isnin lalu selepas diberi rehat selama 16 hari susulan membawa Senegal ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 yang menyaksikan mereka dikecewakan Algeria 0-1.

Pemain berusia 27 tahun itu terlepas kempen pramusim, termasuk kekalahan penalti kepada Manchester City dalam perebutan trofi Perisai Komuniti, namun diturunkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika menentang Norwich City, hujung minggu lalu.

Selepas mengharungi aksi 16 minit dalam kemenangan 4-1 di Anfield itu, Mane berikrar untuk menggempur Chelsea di Istanbul, Turki.

"Saya sudah bersedia. Keletihan yang saya rasakan ada di sini (menunjuk kepalanya)," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan.

"Sudah pasti saya telah mengharungi tempoh permainan dalam jangka masa yang panjang. Saya tidak fikir saya pernah berkesempatan untuk bercuti lebih daripada 20 hari dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

"Saya sudah terbiasa dengannya. Sudah tentu saya bersedia, saya ada di sini, ayuh lakukannya"

Kemenangan Liverpool ke atas Norwich, bagaimanapun, menyebabkan penjaga gol Brazil, Alisson Becker -- yang turut terlepas sebahagian besar kempen pramusim ekoran komitmen antarabangsa -- tersisih gara-gara kecederaan betis, sekali gus terlepas aksi sepanjang bulan ini.

Adrian, yang baru dibawa masuk dan bakal mengambil tempatnya dalam aksi di Vodafone Arena itu, pantas meraih sokongan rakan sepasukan, Virgil van Dijk, untuk tampil menyerlah dalam aksi pertama.

"Adrian sudah berada di sini untuk minggu keduanya. Setiap hari kami bekerja keras," kata pertahanan itu kepada wartawan.

"Baginya,, ia cukup bagus untuk memulakan perlawanan. Ini bukan satu keadaan yang anda harapkan untuk melihat Alisson tercedera manakala Adrian perlu bersedia untuk diturunkan.

"Namun, dia memiliki cukup pengalaman untuk beraksi dan membuktikan kualiti tingginya. Dia telah beraksi selama bertahun-tahun dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kami sudah melihat kemampuannya dalam latihan.

"Dia memerlukan sokongan kami -- kami semua akan melakukannya bersama-sama, bertahan bersama-sama. Kami memerlukan khidmatnya, begitu juga sebaliknya. Dia pasti mampu menggalas peranannya."