Pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante, masih dalam keraguan untuk pertembungan Piala Super UEFA dengan Liverpool, demikian pengesahan dibuat Frank Lampard.

Pemain antarabangsa Perancis itu hanya beraksi 17 minit dalam kekalahan 0-4 The Blues kepada Manchester United ketika membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, kelmarin, ekoran kurang cergas.

Lampard berkata pemain berusia 28 tahun itu mengalami masalah kecil dalam perlawanan itu, lantaran itu bergelut untuk kembali cergas bagi menghadapi Liverpool di Istanbul, Turki, awal pagi esok.

"Kante tersisih akibat kecederaan, saya amat menyedari betapa pentingnya kelibatnya," kata pengurus itu dalam sidang akhbar mengenai kemungkin bekas bintang Leicester City itu membarisi kesebelasan utama.

"Dia ditimpa kecederaan kecil, jadi kami akan menilai situasinya."

Beliau turut menegaskan tidak akan membuat rombakan besar untuk berdepan juara Liga Juara-Juara (UCL) itu walaupun kecewa dibelasah United.

"Saya akan menurunkan pasukan terbaik untuk memenangi perlawanan tanpa mengira umur," katanya.

"Mason Mount memang berhak mendapat tempat; saya tidak akan gentar untuk menurunkan pemain muda.

"Daripada segi pendekatan corak permainan, saya sangat gembira dengan corak agresif tanpa bola anak buah saya. Kami perlu menyesuaikan diri dan menghormati kekuatan lawan kami. Mungkin ada perubahan besar mengenai pendekatan permainan kami."

Lampard berpeluang untuk menjulang gelaran pertamanya itu sebagai bos Chelsea, lebih-lebih lagi dia gagal memenanginya ketika bergelar pemain setelah ditewaskan Atletico Madrid 1-4 pada 2012, disusuli kekalahan kepada Bayern Munich dalam penentuan sepakan penalti, setahun kemudian.

"Ini memberi makna yang besar kepada kelab," katanya. "Saya pernah tewas dua kali, satu daripadanya dalam perlawanan yang buruk. Selepas memenangi UCL, kami beraksi hambar.

"Adalah penting untuk mengerah segala kudrat untuk memenanginya. Ia satu lagi trofi untuk dimenangi kelab ini."