Hilang fokus dan konsentrasi selepas gol pertama oleh Azwan Ali Rahman pada minit ke-62 menjadi punca Timor Leste kalah teruk kepada Brunei Darussalam dalam aksi sulung Piala Solidariti AFC di Kuching, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Fabio Joaqim Da Silva, berkata keadaan itu menyebabkan anak-anak buahnya melakukan terlalu banyak kesilapan, terutama di bahagian pertahanan.

“Akibatnya, pintu gol kami bocor empat kali,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan malam tadi berakhir.

Skuad muda Timor Leste yang dibarisi ramai pemain bawah 19 tahun itu terpaksa bermain di atas padang yang bertakung air berikutan hujan sejak jam 3 petang di Kuching.

“Mereka cuba menguasai kembali permainan, namun tekanan itu menyebabkan lebih banyak gol dijaringkan lawan sambil seorang daripada pemain kami dibuang padang."

Fabio berkata dalam aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan bermain seimbang biarpun terpaksa bermain dalam keadaan yang tidak selesa.

“Tetapi kami tidak boleh menjadikan keadaan padang sebagai alasan kerana punca sebenar kekalahan adalah kehilangan fokus."

Kini, katanya, pemain-pemainnya perlu melupakan detik kekalahan ini dan perlu fokus kepada perlawanan seterusnya pada Sabtu ini.

“Kami perlu tampil berbeza dan tidak ada pilihan lain selain menang.

“Malah, kami akan menukar taktik sambil menukar tiga atau empat pemain untuk menampilkan kesegaran dalam pasukan."

Selepas ini, kata Fabio, beliau akan berbincang dengan pemain-pemainnya berhubung perlawanan itu dan perlawanan menentang Nepal selepas ini.

“Kekalahan ini harus kami pikul bersama. Saya tidak akan menyalahkan dan membunuh (semangat) pemain saya.

“Sebaliknya, ia tanggungjawab yang harus dipikul semua, termasuk saya sebagai jurulatih.

“Kami perlu melihat kembali kesilapan dan kealpaan kami yang menyebabkan kami tewas dalam keadaan yang begitu teruk."

Untuk itu, beliau berharap semuanya akan selesai menjelang aksi seterusnya bagi menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir.