Brunei Darussalam menjangkakan saingan sengit dari Timor Leste dalam aksi sulung Piala Solidariti AFC 2016 yang akan membuka tirai di Stadium Sarawak, Kuching, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Kwan ­­­Oh Son, berkata dengan rangkaian pemain muda yang diketengahkan oleh Pablo Da Silva, dia yakin Timor Leste akan menampilkan corak permainan yang pantas dan bertenaga.

"Kami sedar akan hakikat ini dan saya menasihati pemain-pemain agar tidak mudah leka dan sentiasa fokus," katanya.

Biarpun menang 2-1 dalam aksi terakhir kedua-dua pasukan dalam pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Olimpik, Kemboja, pada 15 Oktober lalu, Oh Son tidak menaruh keyakinan yang tinggi berdasarkan rekod lampau itu.

"Kami telah melakukan banyak perubahan selepas kejohanan tersebut.

"Kami banyak belajar daripada kesilapan lalu, apatah lagi bagi menghadapi keterujaan pemain-pemain muda yang beraksi untuk Timor Leste," katanya.

Kata Oh Son lagi, pemain-pemainnya turut menjalani persediaan rapi, termasuk tiga aksi pertandingan dan dua perlawanan persahabatan pada bulan lepas.

Dia turut mengharapkan agar ia dapat menjadi bekalan pengalaman dalam mengharungi saingan kompetitif kejohanan sulung Piala Solidariti AFC 2016, kali ini.

Dalam aksi kelayakan Piala AFF Suzuki lalu, Brunei tewas 0-3 kepada tuan rumah, Kemboja, selain tumpas 3-4 hasil jaringan masa kecederaan dalam pertemuan dengan Laos.

Sebelum itu, dalam aksi persabahatan dengan pasukan Harimau Muda, skuad “Tebuan” ini juga kecundang 0-2 pada 6 Oktober, dan 0-1 dalam perlawanan ulangan pada 8 Oktober di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.