“Kami tumbang kerana pengadil.” Itu yang ditegaskan pengendali Brunei Darussalam, Kwon Oh Son, sejurus mereka tewas kepada Macau dalam perebutan tiket ke final Piala Solidariti AFC 2016 di Kuching, malam tadi.

Dalam aksi tersebut, Brunei Darussalam dikecewakan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 120 minit masa permainan.

Oh Son yang berasal dari Korea Selatan berkata, tindakan pengadil Kim Woosong, juga dari Korea Selatan, melayangkan kad merah kepada penjaga gawang, Wardun Yussof, kerana mengasari Nicholas Mario Tarrao adalah tidak wajar, kerana kedua-dua pemain itu sebenarnya dalam aksi perebutan bola.

“Malah, beberapa keputusan beliau selepas itu juga agak keterlaluan dan tidak masuk akal. Beliau benar-benar membunuh perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memuji pemainnya yang bermain dengan cukup cemerlang dalam tempoh lebih satu jam berbaki, selepas insiden minit ke-55 itu biarpun hanya dibarisi 10 pemain.

“Malah, mereka bermain dengan begitu bersungguh-sungguh hingga dapat mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Berdasarkan perlawanan tersebut, pemain skuad Tebuan jelas bersedia dari segi taktikal dan mental untuk menghadapi lawan tersebut, apatah lagi untuk bangkit kembali selepas tewas 0-3 di tangan Nepal dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum itu.

Namun, mereka, katanya, tidak mampu untuk menduga sebarang keputusan buruk pengadil.

“Keputusan Woosung banyak mempengaruhi kemenangan Macau pada malam ini (tadi)."

Ditanya tentang penampilan sulung anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefry Bolkiah, dalam aksi separuh akhir ini, Oh Son mengakui kehadirannya banyak mengubah corak permainan Brunei..

Pemain Leicester City yang baharu tiba dari United Kingdom sehari sebelum itu bermain sepenuh masa dengan cemerlang.

“Beliau seorang pemain yang berbakat dan saya ramalkan beliau boleh muncul sebagai penyerang berbisa dari rantau ini,” jelasnya.

Menjelang pertemuan dengan Laos pada Isnin untuk penentuan tempat ketiga, Oh Son mengakui ia perlawanan yang juga sukar.

“Mereka berjaya mengheret Nepal ke penentuan penalti dan ini memberi isyarat bahawa mereka bukan calang-calang pasukan.

“Dengan tempoh masa sehari setengah sebelum perlawanan, penting untuk kami memberi tumpuan kepada pemain untuk pulih daripada kecederaan dan kembali cergas.

“Itu tumpuan saya sebelum mereka turun beraksi dalam perlawanan terakhir itu,” katanya.