Final Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 2018 bakal menyaksikan pertembungan di antara Kota Belud dan Kota Kinabalu selepas masing-masing memenangi aksi separuh akhir, petang tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Belud yang dikendalikan bekas penyerang kebangsaan, Matlan Marjan, menewaskan Keningau 2-0.

Dua jaringan dalam separuh masa kedua menerusi Mohd Azmizan Ruslih pada minit ke-60 serta Helton Dudil dalam waktu kecederaan sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan pasukan yang mewakili Zon Nabalu itu ke final.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Penampang, Kota Kinabalu menundukkan Kinabatangan 3-1.

Kesemua jaringan itu dihasilkan dalam babak kedua dengan Kota Kinabalu mendahului 3-0 hasil jaringan Mohd Faqkrurazi Ahmad (m-46), Mohd Wafi Yakob menerusi sepakan penalti (m-57) dan Mohd Sariman Mukarim (m-60).

Jaringan tunggal Kinabatangan dijaringkan Faizulnizam Aziz pada minit ke-67.

Pertemuan di antara Kota Belud dan Kota Kinabalu adalah yang kedua dalam kejohanan ini selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam saingan peringkat kumpulan.