Keningau dan Kinabatangan memulakan kempen pusingan akhir Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dengan langkah kanan apabila masing-masing memenangi aksi pertama dalam saingan kumpulan A, pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Keningau meraih tiga mata apabila menundukkan Sipitang 1-0.

Gol menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Bernelys Raim, seawal minit kelapan sudah cukup untuk skuad kendalian Suelin Apin itu untuk memenangi perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang layak ke separuh akhir.

Dalam satu lagi aksi kumpulan A di Stadium Penampang, Kinabatangan bernasib baik apabila menang tipis 1-0 ke atas Kuala Penyu.

Gol Kinabatangan dijaringkan Mohd Saufi Ahmad pada minit ke-20, namun pasukan itu hampir kempunan untuk mencatat kemenangan apabila Kuala Penyu dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, kecemerlangan penjaga gol, Mohd Faizal Hafiz, berjaya menafikan sepakan penyerang Kuala Penyu, Mohd Nik Il Fyziey Roslay, sekali gus mengesahkan kemenangan milik Kinabatangan.

Dengan kemenangan itu, Keningau dan Kinabatangan masing-masing mendahului kumpulan A dengan dua pasukan itu bakal bertemu bagi perlawanan kedua di Stadium Penampang, pagi esok.

Dalam perkembangan lain, aksi kumpulan B bakal membuka tirainya petang ini dengan Kota Kinabalu berdepan Kota Belud di Stadium Likas manakala Kota Marudu bakal berentap dengan Tawau di Stadium Penampang.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung jam 3.30 petang.