Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 2018 kini semakin menghampiri kemuncaknya apabila lapan pasukan bakal berentap dalam aksi grand final bermula 19 hingga 24 November ini.

Kesemua perlawanan itu akan berlangsung di Kota Kinabalu dan Penampang dengan kesemua pasukan yang layak adalah pasukan yang menjuarai zon masing-masing.

Lapan pasukan itu akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan perlawanan membabitkan kumpulan A akan berlangsung pada sebelah pagi manakala kumpulan B beraksi pada waktu petang.

Dalam sesi undian pasukan yang dijalankan semalam, juara Zon Pedalaman Atas, iaitu Keningau, bakal berentap dengan Sipitang (juara Zon Pedalaman Bawah), Kinabatangan (Zon Sandakan) dan Kuala Penyu (Zon Pedalaman Tengah) dalam saingan kumpulan A.

Bagi Kumpulan B pula, Kota Kinabalu yang menjuarai Zon Pantai Barat bakal bersaing dengan Kota Belud (Zon Nabalu), Kota Marudu (Zon Utara), dan Tawau (Zon Tawau).

Untuk rekod, Kota Kinabalu adalah juara edisi lalu dalam saingan yang sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Antara Daerah Piala Ketua Menteri Sabah.

Kesemua perlawanan yang berlangsung pada sebelah pagi di Stadium Likas serta Stadium Penampang akan bermula jam 7.30 pagi, manakala aksi sebelah petang yang turut berlangsung di dua venue berkenaan akan bermula jam 3.30 petang.

Peringkat kumpulan kejohanan itu akan berlangsung dari 19 hingga 21 November sebelum diteruskan aksi separuh akhir pada 23 November dan final pada hari berikutnya.