Piala Presiden: Terengganu ke separuh akhir

Oleh Tengku Danish 26 September 2017 722
Piala Presiden: Terengganu ke separuh akhir
Skuad Piala Presiden Terengganu mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan naib juara musim lalu, T-Team, 2-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi sekaligus meraih agregat 3-2.

T-Team terlebih dahulu bermula garang dengan asakan pertama seawal minit keempat menerusi tandukan Muhamad Akram Asidi yang sekadar lemah ke arah pintu gol lawan.

Tonggak pertahanan T-Team, Muhd Aqil Irfanuddin, terus menguji kem Terengganu menerusi sepakan percuma, namun digagalkan penjaga gol, Mohamad Shafawi Mohamad.

Peluang itu membawa kepada sepakan penjuru yang diambil Mohd Zulkhairi Mohd dan berjaya ditanduk kemas Engku Muhd Nur Shakir untuk gol pertama T-Team pada minit kesembilan.

Serangan bertali arus T-Team selepas itu gagal memberikan gol kedua, sebaliknya Terengganu menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Al Imran Abd Aziz (m-39).

Bersambung babak kedua, T-Team terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Muhamad Akram dilayangkan kad merah pada minit ke-55 selepas mengasari penjaga gol, Mohamad Shafawi.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan Terengganu untuk menguasai jentera tengah, dengan T-Team sesekali melakukan serangan balas.

T-Team hampir mencemaskan Terengganu menerusi percubaan Engku Muhd Nur Shakir pada minit ke-83 yang tepat ke dakapan penjaga gol lawan.

Mohd Ridzuan Mohd Razali muncul wira Terengganu selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membawa skuad kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab itu ke kelompok empat pasukan terbaik.

 

Tentang Penulis

Tengku Danish

Komen