Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya ketua pasukan Terengganu, Muhd Fazirhikwan Mat Rani, dalam aksi final Piala Presiden menentang Selangor di Kuala Terengganu, malam ini.

Namun, pemain berusia 21 tahun itu mengakui dia dan rakan-sepasukannya masih perlu fokus dalam usaha memadam kelebihan jaringan 2-0 yang dimiliki Selangor dalam aksi pertama.

Kejayaan mengatasi naib juara dan juara musim lalu di peringkat suku akhir dan separuh akhir juga, menurut Fazirhikwan, harus diulangi untuk memberi saingan kepada Selangor.



“Ini adalah pentas akhir dan kesemua pemain akan turun habis-habisan. Kami akan mencari gol awal untuk meningkatkan moral pasukan,” katanya.

Bagi ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, tiada apa yang diharapkannya selain kepercayaan diletakkan di bahu kesemua pemain muda itu dapat dibalas sebaik mungkin.

Mustaffa optimis sudah ada ramuan tersendiri dalam merencana strategi terbaik untuk menewaskan Selangor sambil menagih sokongan padu penyokong tuan rumah.

Kem Terengganu turut lega dengan kehadiran semula Mohd Ridzuan Mohamad Razali yang tidak beraksi di Selayang akibat penggantungan perlawanan bagi memperkemaskan jentera tengah pasukan itu.

“Pemain-pemain sudah bersedia. Walaupun kelebihan berpihak kepada Selangor, saya yakin dengan kemampuan mereka.

“Semestinya (mendapatkan gol awal) tetapi kami ada perancangan tersendiri untuk memburu kemenangan,” tambah Mustaffa lagi.