Piala Presiden: Terengganu belum mengalah

Oleh Tengku Danish Bahri 2 Oktober 2017 332
Piala Presiden: Terengganu belum mengalah
Jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, optimis anak-anak buahnya mampu mengejutkan juara bertahan, Kelantan, seterusnya mara ke final musim ini.

Selepas seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama, semalam, Terengganu berdepan tugas getir untuk memadam kelebihan satu gol berharga pasukan lawan menjelang aksi timbal balik Jumaat ini.

Mustaffa Kamal berkata, kembalinya perancang tengah, Mohd Haidhir Suhaini, daripada penggantungan akan memantapkan jentera tengah pasukannya yang gagal berfungsi dengan berkesan semalam.

Malah, rekod baik di Kota Bharu pada aksi peringkat kumpulan dijadikan sandaran Sang Penyu untuk sekali lagi mengecewakan Kelantan.

“Walaupun Kelantan ada kelebihan gol di tempat lawan, tidak bermakna mereka sudah layak ke final.
Masih ada 90 minit lagi dan saya akan pastikan pemain-pemain fokus untuk mencipta kemenangan.

“Dalam masa yang sama, kami juga perlu berhati-hati. Saya ada ramuan tersendiri untuk menangani situasi ini,” ujar Mustaffa Kamal lagi.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha, juga enggan berasa selesa dengan kelebihan jaringan yang disifatkannya masih belum selamat.

Menurutnya, kelekaan barisan pertahanan skuad kendaliannya dihukum selepas Terengganu menyamakan kedudukan hanya dua minit selepas mereka mendahului.

Rentak berhati-hati ditunjukkan juga menyebabkan tidak banyak gerakan menarik dapat dilakukan, namun tetap lega berjaya mencuri satu gol di tempat lawan.

“Kedua-dua pasukan beraksi di bawah tahap sebenar, malah kami beraksi dengan dua pemain tengah bertahan.

“Di Kota Bharu, kami akan memberi perhatian untuk memperkemaskan bahagian serangan kerana masing-masing masih berpeluang ke final,” katanya.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen