Piala Presiden: T-Team waspada hadapi Perak

Oleh Staff Writer 11 Oktober 2016 1
Piala Presiden: T-Team waspada hadapi Perak
Ketua jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Zain, enggan mengambil mudah cabaran Perak dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Preside, petang esok meskipun membawa bekalan selesa selepas menang 3-1 di Ipoh, minggu lalu.

“Macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak, masih ada 90 minit lagi dan jika kami mampu menjaringkan tiga gol di Ipoh, mereka juga boleh melakukannya di Kuala Terengganu.

“Saya cukup menghormati pasukan Perak yang dibarisi pemain-pemain berbakat, malah mereka adalah juara Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini.

“Kami perlu fokus walaupun ini kali keempat bertemu Perak, termasuk dua kali dalam saingan liga, dan saya berharap pemain-pemain berjuang berhabis-habisan.

“Sangat merugikan jika kami gagal kerana ini peluang terbaik untuk ke final dan mencipta sejarah tahun ini.

“Kekuatan lawan sudah dikenal pasti, terutama dalam situasi ‘bola mati’, walaupun mungkin rentak sedikit berbeza kali ini kerana mereka ketinggalan dan sudah tentu mereka akan memburu jaringan,” kata Nafuzi.

Tonggak skuad B-22 negara, Mohd Zarulizwan Mazlan, dijangka akan terus menggalas harapan The Young Titans, selepas mereka kehilangan khidmat penyerang berbisa, Muhamad Akram Asidi, akibat kecederaan.

“Ketiadaannya memang dirasai kerana Akram adalah penyerang utama sejak awal musim, namun pemain yang diberi peluang mengambil posisinya menjalankan tugas dengan baik, jadi saya yakin dengan mereka.

“Apa yang penting, pemain perlu fokus, memberi komitmen dan bermain seperti biasa untuk menjaringkan gol serta mengelak daripada dibolosi,” tambahnya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen