Pengendali skuad Piala Presiden Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, memuji karakter barisan pemainnya selepas mara ke separuh akhir mengatasi naib juara musim lalu, T-Team, 3-2 secara agregat, petang semalam.

Menurut Mustaffa Kamal, kejayaan bangkit daripada ketinggalan dalam dua aksi suku akhir membuktikan Terengganu sememangnya layak untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Tambahnya lagi, kesungguhan ditunjukkan itu menjadi resipi kejayaan mereka walaupun mengakui T-Team dibarisi pemain yang memiliki kelebihan daripada segi skil individu.

“Kredit wajar diberikan kepada pemain-pemain atas komitmen serta semangat berpasukan yang ditunjukkan.

“Sepanjang saingan ini, saya sentiasa berpesan supaya memberikan yang terbaik selagi wisel penamat tidak dibunyikan,” ujarnya.

Menanti pasukan Piala Presiden Terengganu dalam separuh akhir ialah penyandang juara, Kelantan, dengan aksi pertama berlangsung Ahad ini.

Sementara itu, jurulatih T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan, menyifatkan skuad kendaliannya harus menyalahkan diri sendiri selepas gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian 2016.

Bekas ketua pasukan kebangsaan itu berkata pasukan lawan mengambil kesempatan daripada kesilapan mudah yang dilakukan pemain-pemainnya walaupun mendahului pada awal permainan.

“Walaupun pihak pengurusan meletakkan sasaran mara ke final, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pasukan ini.

“Kami beraksi dengan baik di peringkat kumpulan, namun dalam aksi suku akhir ini sepatutnya pemain-pemain tahu mereka perlu mengurangkan lagi kesilapan,” kata Tengku Hazman.