Skuad Piala Presiden Selangor melaungkan keyakinan untuk mempertahankan dua gol dalam aksi final kedua bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Menurut pengendalinya, Omar Ali, barisan pemainnya akan tetap turun dengan misi menambah kelebihan jaringan selain mengelakkan drama kemungkinan berlanjutan sehingga ke penentuan penalti.

Dia juga mengesahkan tiada rombakan akan dilakukan ke atas kesebelasan utama Selangor dengan memberi bayangan untuk menurunkan 11 pemain sama dalam aksi pertama, minggu lalu.

“Pendekatan kami masih sama, iaitu bermain secara menyerang dan semua pemain juga bebas daripada kecederaan.

“Selangor menaruh harapan tinggi untuk menjulang Piala Presiden tahun ini dan saya mahu pemain-pemain menamatkan aksi sebenar dalam 90 minit,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Omar juga mengintai peluang kemenangan malam esok sebagai peluang menebus kekecewaan di tiga pentas final sebagai ketua jurulatih Piala Presiden Selangor.

Bagaimanapun, dia mengakui mereka masih belum selesa, terutama berdepan Terengganu di hadapan penyokong Sang Penyu.

“Saya dikecewakan Kedah pada 2000 dan kemudian Negeri Sembilan pada 2001. Jadi ini kali ketiga saya membawa Selangor ke final.

“Senario bola sepak, khususnya di Malaysia, penuh kejutan dan kami akan tetap memburu tambahan gol,” tambahnya.

Nada sama disuarakan ketua pasukan Selangor, Muhamad Haziq Ridwan, yang tidak tertekan meskipun mereka turun selaku pasukan pilihan, malam esok.

“Kami akan bermain seperti biasa tanpa tekanan. Malah, kedatangan ke Kuala Terengganu hanya untuk bermain 90 minit,” kata Haziq.