Piala Presiden: Selangor raih bekalan selesa 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2017 1380
Piala Presiden: Selangor raih bekalan selesa 
SELANGOR 2 TERENGGANU 0 

Selangor merakamkan kemenangan penting dalam perlawanan akhir pertama Piala Presiden apabila menundukkan Terengganu 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini. 


Selangor menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri menerusi aksi terpuji dalam usaha membawa bekalan selesa menuju aksi timbal balik, Jumaat depan. 

Dengan diperkuatkan tonggak Liga Super, Syahmi Safari, skuad muda Red Giants mengawal permainan dengan baik untuk menyukarkan Terengganu mengatur gerak. 

Badrul Amin Rusalan meletakkan Selangor di depan menerusi sepakan deras kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol Terengganu pada minit ke-15.

Tersentak dengan situasi itu, pelawat cuba bangkit untuk mengikat kedudukan, namun hampa. 

Sebaliknya, tuan rumah menambah gol kedua 13 minit kemudian dan kali ini giliran Syahmi mencetak nama selaku penjaring. Dia melakukan tindakan susulan dengan cemerlang selepas percubaan awalnya terkena tiang gol. 

Tiada gol terhasil pada babak kedua untuk Selangor membawa bekalan selesa dalam kunjungan ke Kuala Terengganu, minggu depan. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen