Jurulatih skuad bawah 21 tahun Selangor, Omar Ali, melaungkan keyakinan untuk mencipta jaringan awal menentang Terengganu dalam final pertama Piala Presiden di Stadium Selayang, esok.

Katanya, Selangor akan memastikan kelebihan jaringan menjadi milik mereka untuk dibawa ke final kedua di Kuala Terengganu, 20 Oktober nanti.

Semuanya tampak mampu dicapai Selangor selepas menyaksikan pasukan itu menoktahkan cabaran Kuala Lumpur dan Kedah dalam laluannya untuk ke final.

Justeru, misi mencari gol awal menjadi keperluaan utama buat anak buah Omar bagi merealisasikan impian kejuaraan.

"Dalam tiga hari kebelakangan ini, kami lebih menumpukan perhatian terhadap penyudah. Saya sedar dalam peringkat suku akhir dan separuh akhir, kami mencipta banyak peluang tetapi melepaskan begitu sahaja," katanya.

Kali terakhir Selangor menjulang trofi Piala Presiden pada 2008.

Bagi Terengganu pula, mereka bukanlah pasukan yang mudah dijinakkan. Mereka menyingkirkan juara bertahan, Kelantan, dalam separuh akhir bagi memburu kejuaraan yang pernah dijulang pada 2006.

"Memang kami tidak menafikan Selangor mempunyai tujuh pemain yang menjalani latihan bersama pasukan senior.

"Untuk makluman juga, enam pemain saya pun pernah menjalani latihan dan beraksi bersama skuad senior dalam Liga Super sejak tahun lalu.

"Saya percaya, perlawanan esok menjanjikan aksi yang menarik," kata jurulatih Terengganu, Mustafa Kamal.