Kerian FA berazam memberi saingan sengit kepada Ipoh FA dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak B-19 Perak untuk merebut Piala Presiden PAFA di Stadium Perak, Ipoh, petang esok.

Walaupun sedar kehebatan lawan tetapi pengurus Kerian, Nazirul Jamaluddin,
yakin bahawa anak buahnya sudah bersedia untuk mampamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan itu.

Bagi Nazirul, Kerian hanya selangkah saja lagi untuk melakar kejayaan selepas bersusah payah mengharungi kempen kejohanan antara daerah itu.

"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang membantu kami dari awal hingga sampai ke peringkat perlawanan akhir ini.

"Pemain sudah menampilkan permainan yang bermutu tinggi untuk berjaya mara ke perlawanan akhir.

"Saya berharap mereka mampu meneruskan persembahan cemerlang mereka dalam perlawanan akhir ini.

"Justeru, saya berharap penyokong Kerian dapat beramai-ramai ke stadium untuk menyemarakkan semangat kepada pemain, " katanya.

Sementara itu kapten Kerian, Mohd Yusuf Mohd Shukor, berkata pasukan itu akan menunjukkan semangat juang tinggi serta menjadikan perlawanan itu sengit dan menarik.

"Persiapan kami untuk menuju ke final dalam keadaan sangat baik.

"Nantikan dan bersedialah menantikan saingan yang cukup hebat daripada kami untuk merebut gelaran juara.

"Insya-Allah Kerian akan berusaha habis-habisan untuk meraih kejuaraan," katanya pula.

Kerian mara ke final selepas menundukkan Larut Matang Selama 2-1 dalam separuh akhir manakala Ipoh FA membenam Kampar 5-0.

Editor: Shaiful Shamsudin