Menjelang final menentang Terengganu esok, jurulatih skuad Piala Presiden Selangor, Omar Ali, berharap agar penampilan kali ketiganya di peringkat akhir akan memberikan tuah selepas dua kali berputih mata.

Omar pernah membawa skuad Piala Presiden Selangor mara ke pentas akhir sebanyak dua kali pada tahun 2000 dan 2001, namun gagal dalam kedua-dua edisi terbabit.

Selepas 16 tahun, Omar mengharapkan pengalaman luasnya selama ini akan dapat membantu Selangor mengecapi kejuaraan Piala Presiden buat kali pertama sejak tahun 2008.

“Sebelum ini, saya tidak pernah memenangi Piala Presiden, hanya menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 1998. Saya sudah kali ketiga layak ke final, sebelum ini tewas di tangan Kedah, kemudian Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Ariffin Abd Hamid, menegaskan musim ini menjadi penanda aras bahawa pembangunan akar umbi di negeri itu berjalan dengan baik.

Kehadiran beberapa pemain muda seperti Syahmi Safari, K. Kannan dan A. Namathevan yang mampu beraksi dalam Liga Super membuktikan negeri itu tidak pernah ketandusan pemain.

“Memang pembangunan akar umbi kami berjalan dengan baik. Kami berjaya mengekalkan proses penghasilan pemain-pemain muda,” ujar Ariffin.