Pengendali Kelantan, Hashim Mustapha, nyata tidak gusar dengan kelebihan satu gol yang dimiliki T-Team menjelang perlawanan akhir kedua Piala Presiden di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

“Persiapan kami seperti biasa dan tiada ramuan istimewa, namun yang pasti kami mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit.

“Misi ke Kuala Terengganu adalah mencari kemenangan atau seri dengan jaringan yang besar untuk mengelak perlawanan diheret ke masa tambahan.

“Tiada masalah pada kesebelasan utama walaupun dua pemain pertahanan, iaitu Aiman Shakir dan Syafiq Shapie, digantung untuk perlawanan ini.

“Selain Danial Ashraf yang beraksi cemerlang musim ini, kami juga akan kembali mendapat khidmat Mohamad Faris Shah yang tidak bersama sejak sembilan perlawanan yang lalu,” katanya.

Bagi ketua pasukan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, mereka yakin dengan percaturan yang disediakan ketua jurulatihnya dalam menghadapi T-Team, seterusnya mempertahankan trofi itu di Kelantan.

“Status selaku juara bertahan tidak memberi sebarang makna kerana ini adalah peluang untuk kami menempa nama baharu.

“Meskipun pasukan lawan berkelebihan satu gol, itu juga tidak merunsingkan kami kerana semua boleh berlaku dalam bola sepak,” tambah Syihan.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan akhir pertama di Kota Bharu, minggu lalu.