Hajat mencari kemenangan keempat berturut-turut lebur apabila Kelantan akur tewas 1-4 kepada pendahulu liga, Sabah, dalam saingan Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Likas, Kota Kinabalu, petang tadi.

Lebih perit, kekalahan itu menyaksikan The President Warriors (TPW) terkeluar daripada empat pasukan terbaik liga apabila pencabar terdekat, Pahang, mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Perlis.

Turun dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan, TPW bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal penyerang Sabah, Ariusdius Jais, pada minit ke-23.

Dua minit kemudian, Stanley Sulong menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua sebelum pemain tengah TPW, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, merapatkan kedudukan pada minit ke-32.

Dalam babak kedua, Sabah berjaya menambah dua lagi jaringan melalui Stanley Sulong (m -59) dan Hamran Peter (m-89) untuk memungut tiga mata penting, sekali gus kekal sebagai pendahulu liga Kumpulan A.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, akur dengan kekalahan pasukannya dan menyifatkan dua jaringan awal Sabah banyak memberi tekanan kepada persembahan anak buahnya.

"Kami melepaskan dua gol awal dan berjaya merapatkan jurang melalui Daniel (Asyraf Abdullah) sebelum separuh masa pertama berakhir.

"Dalam babak kedua, keghairahan untuk mencari gol penyamaan membawa padah apabila Sabah mengambil kesempatan dengan menambah dua gol lagi,” katanya.

Zahasmi, bagaimanapun, yakin pemainnya akan bangkit semula untuk memburu kemenangan bagi mencerahkan peluang berada dalam kelompok empat terbaik liga.

“Peluang masih terbuka kepada empat pasukan teratas dan kami yakin mampu mencari kemenangan bertemu Melaka, Khamis ini," ujarnya.

Kekalahan kedua ini meletakkan TPW di tangga kelima kumpulan A dengan 15 mata hasil daripada empat menang dan tiga keputusan seri manakala Sabah unggul mendahului dengan 24 mata.