Ketua jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Zain, menyifatkan perlawanan akhir kedua Piala Presiden bertemu juara bertahan, Kelantan, di Kuala Terengganu, malam ini sebagai medan terbaik mengubat kekecewaan pasukan senior mereka musim ini.

“Dengan 90 minit yang panjang, tidak mungkin kami hanya mahu bermain untuk seri tanpa jaringan.

“Keutamaan untuk perlawanan ini adalah mengelak daripada dibolosi dan pada masa yang sama turut mencari bekalan gol lagi untuk menjamin kemenangan kami.

“Perancangan kami terjejas dengan kecederaan yang menimpa tonggak utama, Muhammad Zulhusni Azizan, Mohd Akram Asidi dan Muhammad Zarulizwan Mazlan.

“Jadi, jentera serangan kami sedikit tumpul dan khidmat Safawi (Rasid) mungkin diperlukan untuk memperkuatkan pasukan, terutama barisan hadapan.

“Kekecewaan yang dialami dua pasukan senior musim ini diharapkan dapat diubati dengan kejuaraan pertama Piala Presiden daripada T-Team,” ujar Nafuzi.

Ketua pasukan, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri, 19, pula tampak bersedia untuk mencipta sejarah baharu T-Team musim ini.

“Persiapan berjalan lancar dan semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan bersejarah ini.

“Kami mahu mencari gol awal dan akan memberikan yang terbaik untuk membawa pulang Piala Presiden ke bumi Darul Iman,” tambahnya.

The Young Titans turun dalam perlawanan ini dengan berkelebihan satu gol di tempat lawan selepas mengikat Kelantan 1-1 dalam aksi final pertama di Kota Bharu, minggu lalu.