Kedah menunaikan janji untuk mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 4-0 dalam aksi berat sebelah Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Darulaman, petang tadi.

Ketua jurulatih Piala Presiden Kedah, Victor Andrag, menghamburkan pujian kepada semua pemain, terutama barisan serangan yang bangkit menjaringkan tiga gol dalam babak kedua.

“Kami hanya mampu menjaringkan satu gol dalam separuh masa pertama biarpun menguasai keseluruhan permainan. Namun, dalam babak kedua, jentera serangan kembali bangkit dan berjaya mencari tiga lagi jaringan.

“Pujian kepada semua pemain dan saya yakin hajat kami untuk menamatkan pusingan pertama dalam kelompok teratas semakin hampir. Kami akan menghadapi Selangor United, di gelanggang lawan, Khamis ini,” katanya.

Ditanya peluang Kedah untuk mengejar pendahulu liga, Sabah, Victor yang juga bekas pertahanan negara yakin kemampuan dan semangat juang yang dimiliki anak buahnya.

“Kami yakin mampu mengejar Sabah sebagai pendahulu liga Kumpulan A. Cuma, buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada satu perlawanan kepada satu perlawanan berikutnya. Tidak perlu gopoh,” tambahnya.

Dalam aksi berat sebelah petang tadi, Kedah mendahului melalui sepakan percuma pemain tengah, Mohammad Hidzir Idris, pada minit ke-26.

Tuan rumah menambah tiga lagi jaringan dalam separuh masa kedua melalui tandukan cantik Muhammad Zhafir Md. Yusoff (m-55) dan Akmal Azmi (m-72) sebelum rembatan kencang penyerang, Mohd Khairuddin Mohd Salleh, pada minit ke-80 melengkapkan kemenangan besar Kedah.

Untuk rekod, Kedah berada di tangga ketiga carta liga dengan 18 mata hasil daripada lima kemenangan dan tiga keputusan seri manakala ATM kekal di tangga tercorot dengan satu mata.