Pengendali Selangor, Omar Ali, menyifatkan keberkesanan barisan pemainnya menyerap tekanan demi tekanan daripada Terengganu menjadi kunci kejayaan menjulang trofi Piala Presiden, malam tadi.

Persiapan rapi di bahagian pertahanan juga, katanya, membantu Selangor mengekang setiap serangan lawan yang menguasai sebahagian besar perlawanan itu.

Sambil mengakui kesebelasan utama yang diturunkan agak gugup, terutama pada awal permainan, Omar akhirnya tersenyum puas dengan peningkatan skuad muda Selangor dalam babak berikutnya.

“Saya memperkemaskan kubu pertahanan dan bersedia melakukan serangan balas kerana sudah menjangkakan Terengganu akan datang menyerang untuk memburu gol.

“Pemain-pemain berjaya mengimbangi rentak dalam 45 minit kedua. Malah, kami beraksi lebih yakin untuk menangani setiap asakan lawan,” ujarnya.

Kejayaan menjadi juara Piala Presiden edisi 2017 jelas memberikan petanda baik buat Selangor yang tidak ketinggalan memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat belia.

Menurut Omar, usaha berterusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) begitu teratur, sekaligus menguntungkan negeri itu untuk jangka masa panjang.

“Majoriti pemain ialah barisan sama yang menjulang Piala Belia pada 2015 dan mereka teruskan dalam saingan Piala Presiden.

“Terima kasih kepada FAS, ibu bapa serta pemain. Ini hadiah untuk Selangor,” tambah Omar.