Pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Mohd Nafuzi Zain, menyifatkan pasukannya berhak melangkah ke final musim ini selepas pasukannya mengecewakan Perak dalam separuh akhir, semalam.

“Tahniah saya ucapkan kepada pemain-pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan kerana tiada siapa yang menjangkakan kami mampu mara ke final.

“Tetapi bagi saya, melihat kepada gaya permainan sejak awal musim, sememangnya kami berhak melangkah sejauh ini dan saya sangat bersyukur atas kecemerlangan pasukan.

“Secara keseluruhan, kami tidak bermain dengan begitu baik tetapi tahap disiplin pemain cukup tinggi ketika bertahan dengan pasukan lawan ghairah memburu gol.

“Malah, kami turut berpeluang menjaringkan gol tetapi apa yang penting ialah kami ke final.

“Terima kasih kepada pemain-pemain atas komitmen dan kerja keras untuk mencipta sejarah buat kali pertama tahun ini,” ujar Nafuzi.

Pengendali Perak, Sayuddin Mohd Isa, pula menerima kekalahan pasukannya sambil berikrar akan kembali lebih kuat pada 2017.

“Pemain-pemain saya telah berusaha keras untuk memenangi perlawanan ini, namun disebabkan kegagalan memanfaatkan peluang-peluang terhidang, kami berputih mata.

“Saya tidak lihat ada kekuatan ketara dengan T-Team tetapi kami yang gagal menyempurnakan peluang, malah faktor pengadil juga menjadikan perlawanan sedikit tegang.

“Saya berterima kasih kepada pemain-pemain tetapi tiada rezeki untuk musim ini,” katanya.