Impian The President Warriors (TPW) untuk meraih kejuaraan Piala Presiden kali ketiga berturut-turut musnah melalui peraturan gol di tempat lawan apabila sekadar seri 2-2 dengan musuh tradisi, Terengganu, dalam separuh akhir kedua Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kelantan, yang pada mulanya memegang kelebihan jaringan di tempat lawan (seri 1-1 di Kuala Terengganu) teruk diasak skuad bimbingan jurulatih, Mustafa Kamal Abd Wahab, dalam separuh masa pertama.

Dalam babak kedua, penyerang utama TPW, Nik Azli Nik Alias, menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah apabila merembat masuk bola hantaran Mohd Danial Asyraf Abdullah, menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Shafawi Mohamad, pada minit ke-67.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Terengganu, sebaliknya mereka cepat bangkit menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan cantik penyerang, Mohd Haidhir Suhaini, pada minit ke-71.

Empat minit kemudian, kelekaan benteng TPW sekali lagi membolehkan Haidhir menjaringkan gol kedua Terengganu untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

Perlawanan menjadi semakin menarik apabila Mohd Danial Asyraf Abdullah berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan percuma cantik pada minit ke-87.

Kelantan terus menyerang mencari gol kemenangan, malangnya benteng Terengganu kekal bertahan untuk mencipta sejarah mara ke final dan menghancurkan impian TPW mencipta hatrik.

Ketua jurulatih Kelantan, Mohd Hashim Mustapha, akur dengan kekalahan tersebut sambil menyifatkan rezeki tidak berpihak kepada anak buahnya untuk terus mempertahankan Piala Presiden di bumi Kelantan.

“Kelantan tidak bernasib baik biarpun memberikan persembahan terbaik. Kelekaan benteng pertahanan selepas kami menjaringkan gol pendahuluan melalui Nik Azli membawa padah.

“Terengganu berjaya menjaringkan dua gol dalam masa empat minit dan menyebabkan kami mula tertekan. Biarpun Danial Asyraf menghidupkan harapan kami ke final dengan gol kedua, benteng pertahanan Terengganu pula kukuh bertahan,” katanya.

Terengganu akan membuat perhitungan dengan Selangor dalam final Piala Presiden pada 12 dan 19 Oktober ini selepas skuad muda Merah Kuning itu menewaskan Kedah melalui peraturan gol di tempat lawan apabila terikat 1-1 di Stadium Darulaman.