Jordan Ollerenshaw, anak kepada bekas penyerang legenda Sabah, Scott Ollerenshaw, mahu dikenali atas kemampuan diri sendiri selepas dipanggil menyertai latihan skuad B-21 kebangsaan bagi menghadapi Piala Newspaper yang bermula 10 Disember ini.

Jordan menjadi perhatian utama dalam skuad kali ini memandangkan dia hadir dengan reputasi besar selaku anak Scott selain pertama kali mendapat panggilan skuad negara.

Bermain bersama kelab Australia, St. George, dia lebih gemar beraksi di posisi sayap kiri walaupun boleh bermain di bahagian tengah atau kanan.

Pemain berusia 20 tahun itu tidak mahu berasa sebarang tekanan walaupun pasti ramai pihak akan membandingkannya dengan Scott.

"Ia bukan tentang membawa nama bapa saya tetapi untuk membina nama sendiri. Walaupun wujud beban besar membawa nama itu, saya cuba yang terbaik.

"Cita-cita saya ingin menyertai skuad senior Malaysia dan dalam masa sama menikmati bola sepak di setiap proses," kata Jordan.

Sementara itu, dalam sesi latihan hari ketiga di Wisma FAM hari ini, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui ia satu tugas mencabar dalam mendidik muka-muka baru.

Falsafah permainan formasi 3-4-3 dilihat masih satu sistem asing kepada majoriti pemain yang hadir daripada skuad Piala Presiden atau Belia.

"Bagi mereka, ia satu sistem baru. Jurang masa agak singkat tetapi saya percaya mereka mampu memahami untuk melakukan perkara yang tepat. Ia akan mengambil masa sehingga bermula saingan Piala Newspaper di Vietnam nanti," ujar Kim Swee.