Jurulatih Nigeria, Gernot Rohr, berasakan Afrika Selatan adalah pilihan terbaru untuk menjuarai Piala Negara-Negara Afrika.

Bafana Bafana hanya pernah sekali memenangi kejohanan ini, kali terakhir melakukannya pada 1996 ketika beraksi di laman sendiri.

Tetapi kekalahan 1-0 tuan rumah edisi kali ini, Mesir, menyaksikan mereka sebagai ancaman terbaru selepas Cameroon dan Maghribi merupakan antara gergasi yang telah dihantar pulang.

Nigeria akan berdepan Afrika Selatan dalam suku akhir awal pagi esok dan Rohr mengakui Super Eagles berdepan tugas sukar untuk memburu slot separuh akhir.

"Kami menyaksikan perlawanan Mesir berdepan Afrika Selatan dan kami mengetahui kebolehan mereka kerana telah diundi dalam satu kumpulan serta bersaing dalam peringkat kelayakan," kata Rohr.

"Untuk menewaskan Mesir, yang dibarisi pemain terbaik Afrika (Mohamed Salah), memerlukan tahap keyakinan yang tinggi.

"Mereke berhak menang kerana merupakan pasukan yang lebih berkualiti dan jika anda mengatasi Mesir, anda kini merupakan pilihan kejohanan.

"Kami turut mengharungi perlawanan yang cemerlang berdepan Cameroon, Kami juga memiliki tahap keyakinan yang tinggi.

"Saya berasakan kekuatan pasukan ini terhasil menerusi kesatuan pemain-pemain dan semangat sepasukan."

Perlawanan yang diperlu dihadapi Afrika Selatan dalam saingan kali ini agak sukar, dengan skuad kendalian Stuart Baxter itu sekadar menjaringkan dua gol dan bolos dua kali.

Baxter di bawah tekanan menjelang aksi bertemu Mesir tetapi penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams, berasakan terdapat peningkatan yang telah dipamerkan.

"Kritikan positif sentiasa diterima. Kami menggunakannya dan memperbaiki permainan dan setiap pemain yang hadir ke saingan kali ini memiliki tugas untuk menampilkan permainan terbaik," kata Williams.

"Kami bermula perlahan, persiapan kami bukan yang terbaik tetapi kami semakin menampilkan persembahan yang berkualiti. Tahap keyakinan pasukan semakin meningkat. Saya berasakan jurulatih telah menemui keseimbangan."