ALGERIA 2 NIGERIA 1

Sepakan percuma sensasi Riyad Mahrez pada minit ke-95 membantu Algeria untuk menyingkirkan Nigeria 2-1, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019, awal pagi tadi.


Algeria mendahului permainan hasil jaringan William Troost-Ekong tetapi Nigeria bangkit menerusi gol Odion Ighalo, yang dihadiahkan ihsan video bantuan pengadil (VAR).

Ketika di ambang masa tambahan, Algeria, yang tidak menjejakkan kaki ke final sejak memenangi kejohanan tersebut di tanah air sendiri pada 1990, dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti.

Bintang Desert Foxes, Mahrez, kemudian melencongkan bola untuk melepasi benteng sebelum menewaskan penjaga gawang, Daniel Akpeyi, untuk membawa pasukannya ke final bertemu Senegal.

Baghdad Bounedjah sepatutnya menjaringkan gol pembukaan dalam aksi di Kaherah, Mesir itu, tetapi entah bagaimana tendangannya dari jarak dekat gagal menepati sasaran manakala Ramy Bensebaini yang tidak kawal rapi mensia-siakan satu tandukan di dalam kubu Nigeria.

Bounedjah, yang kemarau gol sejak kempen AFCON 2019 bermula, mempamerkan kelincahan pada minit ke-29 dengan melepasi kawalan ketat Kenneth Omeruo, namun tindakan penyudahnya tepat ke arah Akpeyi.

Ighalo pula gagal memanfaatkan umpanan Alex Iwobi sebelum Algeria membuka tirai jaringan ketika menuju masa rehat apabila hantaran silang Mahrez terkena pertahanan kiri lawan, Jamilu Collins, dan Troost-Ekong menyudahkan peluang itu sebaik bola bergolek ke kakinya.

Nigeria memperkemaskan permainan selepas rehat tetapi mereka memerlukan nasib untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Aissa Mandi melakukan kesilapan apabila cuba menyekat percubaan jarak jauh Peter Etebo dengan lengannya dan pengadil, Bakary Gassama, memberikan penalti yang disempurnakan Ighalo biarpun terpaksa menunggu lama ekoran penggunaan VAR.

Percubaan pemain tengah Algeria, Ismael Bennacer, dari jarak 25 ela sempat mengegar palang sebelum Mahrez muncul wira untuk menghukum kekasaran yang dilakukan Wilfred Ndidi.