Penyerang Malaysia Tiger, Muhammad Aisy Al-Hakim Hasnizam, tidak mahu mensia-siakan peluang untuk membuktikan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Piala Global Yakult B-12 2019 di Osaka, Jepun, dalam mencapai impian bergelar pemain bola sepak profesional pada masa akan datang.

Pemain skuad B-12 kebangsaan itu, bagaimanapun, berdepan cabaran mencari keserasian dalam pasukan memandangkan ini penampilan pertamanya bersama pemain lain.

Aisy Al-Hakim menjadikan bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho, sebagai idolanya untuk berusaha lebih keras bagi merealisasikan cita-citanya untuk bermain bola sepak di luar negara.

"Saya tidak dapat mengikuti latihan pasukan kerana menghadapi UPSR.

"Saya ingin bermain di luar negara, tidak mahu bermain di Malaysia," katanya.

Sementara itu, penyerang Malaysia Warrior, Abid Safaraz Rozaidi, enggan menjadikan alasan kecederaan di lutut kiri untuk tidak diturunkan dalam perlawanan menentang pasukan Dream dari Jepun, esok.

Dia turut meletakkan kepercayaan ke atas rakan sepasukan untuk dianggap sebagai pesaing hebat buat negara lain di pentas kejohanan ini.

"Saya nak main juga esok untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Saya percaya mereka sebagai kawan sejati (rakan sepasukan), mampu bersaing dengan pasukan lain," kata Abid Safaraz.

Jadual perlawanan esok:

Malaysia Warrior lwn Dream
Malaysia Tiger lwn Cerezo

Malaysia Warrior lwn Nanko Southman FC
Malaysia Tiger lwn Sakurada

Malaysia Warrior lwn Fagiano
Malaysia Tiger lwn Tokushima Voltis