Peluang Sabah untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam Kejohanan Jemputan Piala Gabenor Jawa Timur hampir tertutup apabila mengalami kekalahan kedua, kali ini tewas 2-0 di tangan Persija di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, dilihat melakukan perubahan formasi iaitu 4-4-2 berbanding 4-3-3 dalam beberapa aksi lalu.

Sabah memiliki dua peluang terbaik dalam babak pertama hasil dua cubaan Dennis Buschening, masing-masing pada minit ke-22 dan 26, namun kedua-duanya tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-33, giliran Persija pula mencemaskan pintu gol Sabah tetapi penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh, bertindak cemerlang menepis keluar rembatan Alfath Faathier.

Skuad dari Jakarta itu kemudian berjaya mendahului pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti Marco Simic selepas bola hantaran silang terkena tangan Evan Wensley Wencesalus di dalam kotak penalti.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memiliki peluang, namun Persija terlebih dahulu memanfaatkannya hasil penyudah baik Rohit Chand pada minit ke-52.

Gol itu berpunca hasil gerakan solo Simic yang menewaskan dua pertahanan sebelum membuat hantaran dan disudahkan dengan tenang oleh Rohit bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-60, Sabah hampir merapatkan jurang namun rembatan Ariusdius yang mendapat lorongan Ramos berjaya ditepis keluar penjaga gol Persija, Andritany Ardhiyasa.

Skuad Tambadau kemudian sekali lagi memcemaskan pintu gol Persija namun rembatan sepakan percuma Md Azwan Abd Fattah pada minit ke-65 hanya sedikit saja tersasar.

Pada minit ke-84, Simic memiliki peluang baik apabila hanya berdepan penjaga gol, namun cubaannya tinggi di atas palang gol.

Kedua-dua pasukan kemudian menggantikan beberapa pemain mereka namun gagal mengubah kedudukan dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.


Editor: Nafis Abdullah