Piala FAM: Sime Darby hampiri kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 873
Piala FAM: Sime Darby hampiri kejuaraan
Sime Darby semakin hampir untuk menjuarai Piala FAM selepas menumpaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC 1-0 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. 

Sime Darby dan UKM turun dengan misi memburu gelaran pasukan terbaik dalam kejohanan itu sekalipun kedua-duanya sudah melayakkan diri ke Liga Perdana musim depan.

UKM, yang juga pasukan tuan rumah, berjaya mengimbangi perlawanan biarpun berdepan skuad yang lebih berpengalaman bersaing di peringkat itu, khususnya dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, sedikit kesilapan pemain pertahanannya yang tidak mengeluarkan jauh bola membawa padah apabila kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya jentera serangan Sime Darby.

Fahmi Awang, yang tidak dikawal kemas ketika berada di depan gol, mudah menyempurnakan hantaran rendah rakan dari sebelah kanan pada minit ke-54

Kedua-dua pasukan beraksi agresif dengan menyaksikan kecederaan menimpa beberapa pemain.

UKM meraih satu-satunya peluang untuk menyamakan kedudukan pada hujung separuh masa kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemainnya dijatuhkan.

Namun, malang buat skuad itu kerana sepakan ke sebelah kiri yang diambil Rafizi Hamdan diselamatkan Faridzuean Kamaruddin.

Sime Darby membawa kelebihan satu jaringan di tempat lawan untuk bermain dalam 90 minit kedua di Stadium Petaling Jaya, Ahad depan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen