Piala FAM: Kuching FA muktamadkan skuad minggu depan

Oleh Rudi Affendi Khalik 30 November 2017 184
Piala FAM: Kuching FA muktamadkan skuad minggu depan
Siapa yang akan berada dalam senarai kesebelasan utama Kuching FA akan ditentukan minggu depan, kata penolong jurulatihnya, Shahrizan Sahari.

Jelasnya, pihaknya kini dalam proses akhir untuk memilih pemain, terutama dalam kalangan mereka yang telah melepasi tapisan akhir minggu lalu.

"Kami telah membuat pemilihan terbuka sebelum ini dan kini ada 30 orang sebelum dimuktamadkan kepada 25 orang minggu depan," katanya.

Kuching FA layak ke suku akhir Piala FAM musim lalu selain pernah muncul sebagai juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).

Shahrizan berkata turut berada dalam senarai penilaian adalah beberapa pemain Piala Sarawak yang menamatkan saingan baru-baru ini.

"Ada beberapa pemain yang sedang dalam pemerhatian dan penilaian kami," katanya.

Antara yang mencuba nasib termasuk dua pemain adik-beradik dari Bintulu, Sahran Abdul Samad dan Samsu Alam Abdul Samad.

Mengulas kedudukan pemain-pemain musim ini, Shahrizan berkata tidak ada jaminan yang pemain musim ini dikekalkan dalam pasukan baharu kelak.

"Mereka perlu bersaing dan kami akan pilih yang terbaik," ujarnya.
 

Tentang Penulis

 Rudi Affendi Khalik

Komen