Demi pengorbanan, ketua pasukan UKM FC, Hafizuddin Sulaiman, yang bakal menjadi warga pendidik sanggup berulang alik sejauh 160km sehari di antara Sekinchan dan Bangi untuk menghadiri sesi latihan bersama pasukan.

Kecekalan yang ditunjukkan Hafizuddin nyata mengagumkan biarpun terpaksa membahagikan masa sebagai seorang guru pelatih dan pemain bola sepak.

Walaupun hampir berputus asa kerana perlu memandu selama dua jam ke tempat latihan, namun demi pasukan UKM, Hafizuddin sanggup melakukan pengorbanan.

Kini, dia berharap segala usaha gigihnya bakal terbayar dengan membawa UKM mara ke pentas akhir Piala FAM apabila bakal bertemu Shahzan Muda di Universiti Malaya (UM), Ahad ini sementara satu lagi pertemuan membabitkan Sime Darby dengan Felcra FC di Padang Bukit Jelutong.

"Saya menganggap ia satu pengorbanan demi UKM FC. UKM seperti ahli keluarga saya sendiri. Saya sudah lama bersama pasukan ini. Bakat saya dikembangkan di sini.

"Saya berharap dapat membawa UKM ke Liga Perdana, musim depan," katanya.

Sementara itu, jurulatih UKM, Sulaiman Hussin, yang telah bersama pasukan sejak 10 tahun lalu berharap barisan pemainnya tidak mensia-siakan kesempatan apabila menanti kunjungan Shahzan Muda.

Tidak gusar dengan kegagalan membawa sebarang bekalan gol di Temerloh, dia sudah mempunyai strategi tersendiri untuk memerangkap lawan.

"Sebelum ini, kami sudah bersedia untuk menghadapi Shahzan Muda yang dianggap berbahaya di tempat sendiri.

"Faktor yang perlu diperbaiki adalah penyudah di depan gol kerana banyak peluang yang dilepaskan.

"Saya harap anak buah saya tidak lupa untuk membawa kasut dan seterusnya menjaringkan gol," kata Sulaiman.