Perlawanan akhir Piala FA anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia di antara KDM Sepanggar dan KDM Semporna di Stadium Likas, Ahad ini, dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan dilihat memiliki peluang sama rata untuk menjulang piala.

Kelayakan dua pasukan itu ke final sudah cukup membuktikan keampuhan masing-masing apabila KDM Sepanggar membenam KDM Tongod dengan agregat 5-1 dalam separuh akhir manakala KDM Semporna menempah tiket ke final selepas menewaskan KDM Sipitang dengan agregat 3-1.

Persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan ini juga berlaku dalam Liga KDM Malaysia apabila bertemu dalam separuh akhir, namun nasib lebih berpihak kepada KDM Sepanggar yang menang tipis dengan agregat 3-2.

Penolong pengurus KDM Sepanggar, Redzuan Garin, ketika dihubungi menganggap pertemuan final itu nanti sebagai ujian sukar dan berharap pemainnya tidak mengambil mudah serta memandang ringan ancaman KDM Semporna yang dilihat mampu mencipta kejutan.

"Ini perlawanan akhir dan ia kembali terbuka serta boleh mengundang padah jika kami terlalu yakin dan tidak mengambil mudah terhadap pasukan lawan,” katanya.

Beliau turut berharap penyokong KDM Sepanggar akan turun beramai-ramai ke Stadium Likas, Ahad ini, untuk menjadi 'pemain ke-12' bagi menyemarakkan lagi semangat pemain.

Perlawanan akhir itu dijangka bermula pada jam 7 malam.

Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2019 dan Piala FA turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Sebanyak 36 pasukan menyertai kejohanan berkenaan dan secara automatik layak untuk bersaing merebut Piala FA KDM Malaysia yang juga merupakan kejohanan kedua terbesar selepas Liga KDM Malaysia serta dijalankan secara kalah mati.